Hari ini dengan penuh kebanggaan, YaPEIM ingin mengumumkan satu pendekatan baharu dalam menggalakkan masyarakat di negara kita untuk berinfak. Kami telah memperkenalkan sumbangan 'direct debit' secara terus melalui pautan di laman sesawang https://infaqpay.my/go/yapeim. Kami yakin pendekatan ini dapat menarik lebih ramai individu dan kumpulan sasar untuk berinfak secara berkala kepada YaPEIM, dengan sumbangan serendah RM10.

Pendekatan baru ini telah dirancang dengan teliti sejak beberapa bulan lalu, dengan mempertimbangkan penggunaan telefon pintar dan Internet yang semakin meluas di negara kita. Kami percaya amalan berinfak atau bersedekah seharusnya mudah dilakukan, dan memerlukan pelbagai pilihan serta kaedah yang memudahkan masyarakat. Seperti yang telah diungkapkan oleh komuniti global, 'dunia kini dihujung jari'.

Kami menyedari betapa pentingnya peranan infak masyarakat dalam mencapai objektif YaPEIM. Oleh itu, saluran baru ini diharapkan dapat menjadi pilihan yang mudah dan efisien bagi masyarakat untuk mengejar kebaikan akhirat masing-masing. Dengan ini, kami berharap YaPEIM dapat menjadi platform infak yang dipercayai oleh semua.

Platform baharu yang dikuasakan oleh InfaqPay ini dilihat mampu memberi nilai tambah kepada YaPEIM dalam menjadi peneraju kepada institusi amal jariah di Malaysia khususnya. Selain pendekatan sedia ada yang telah dilaksana seperti Rakan Strategik Infak (RSI) yang menggalakkan kakitangan kerajaan dan swasta menginfakkan gaji kepada YaPEIM, serta portal crowd funding Inspirasi Qaseh , platform ini diharap mampu meningkatkan dana Tabung Amanah YaPEIM yang diketahui ramai digunakan untuk membantu mereka yang memerlukan seperti anak yatim, pelajar miskin, keluarga asnaf dan B40, dan lain-lain lagi.

Untuk makluman, sebelum ini YaPEIM memperuntukan sumbangan keseluruhan berjumlah RM2.7 juta bagi penganjuran Program Ihya' Ramadan dan Aidilfitri untuk tahun ini yang merangkumi pelbagai program dan sumbangan seperti pemberian duit raya, agihan foodbank, penganjuran majlis berbuka puasa, agihan juadah berbuka puasa, Program Ziarah MADANI, Projek Pembangunan Komuniti YaPEIM, serahan bantuan Sinar Kasih, bantuan baju raya dan serahan Inspirasi Prihatin YaPEIM.