Inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang bertujuan untuk memberi manfaat kepada masyarakat tempatan, dikenali sebagai Nikmati Rezeki@SACC, telah dianjurkan oleh SACC Convec Sdn. Bhd. (SCSB). Program ini dimeriahkan dengan alunan qasidah dan tazkirah yang disampaikan oleh Ustaz Don Daniyal Biyajid, dengan kerjasama Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE), di Pusat Konvensyen Shah Alam.

Penglibatan daripada 50 orang pelajar Maahad Al-Iman Al-Adni dan 50 orang anak-anak yatim dari Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Darul Ehsan Malaysia disantuni oleh para kakitangan dan keluarga SCSB yang hadir hampir 150 orang.

"Saya menghargai agar majlis hari ini menjadi salah satu pengalaman yang berharga buat semua individu yang hadir, serta menjadi titik permulaan bagi usaha-usaha lebih besar dalam menjalankan tanggungjawab sosial korporat. Tanggungjawab kita tidak hanya terhenti di sini sahaja, sebagai ummah yang prihatin, kita wajar memberi perhatian kepada mereka kerana menjaga anak yatim ini ibarat bersama Rasulullah S.A.W. di syurga", ujar Azlina Amran Ketua Pegawai Eksekutif SCSB.

SCSB turut menyalurkan sumbangan sebanyak RM5000 kepada rumah kebajikan dan Maahad Tahfiz selain pemberian duit raya dan saguhati sebagai tanda berkongsi rezeki kepada mereka yang memerlukan dan membantu meringankan beban kedua-dua buah rumah tersebut.

Tetamu yang hadir turut dapat menyumbang kepada YIDE yang kemudian akan disalurkan kepada mereka yang memerlukan melalui kod QR yang disediakan pada bunting, meja dan skrin LED sepanjang Bufet Ramadan SACC yang berlangsung dari 14 Mac hingga 7 April 2024.

Program CSR ini turut ditaja oleh Adabi dengan sumbangan produk-produk yang boleh dimanfaatkan oleh semua yang hadir terutama bagi penyediaan sahur dan iftar sepanjang bulan Ramadan ini.